Keputihan wanita semasa hamil adalah satu topik yang sering membingungkan ramai ibu mengandung. Dalam tempoh kehamilan, tubuh wanita melalui pelbagai perubahan hormon dan fisiologi yang menakjubkan, salah satunya ialah peningkatan rembesan lendir faraj.
Namun, persoalannya, adakah keputihan wanita ini sesuatu yang normal, atau petanda kepada masalah kesihatan yang berbahaya? Berdasarkan data klinikal, lebih 50% wanita hamil mengalami peningkatan keputihan (leukorea) yang ketara, terutamanya pada trimester pertama dan kedua.
Di Malaysia, isu kesihatan intim seperti keputihan wanita masih lagi diselubungi stigma. Ramai wanita terutamanya isteri dan ibu hamil malu untuk berbincang tentangnya secara terbuka. Ada yang menganggap keputihan itu “kotor”, “lumrah wanita”, atau tidak perlu dirawat. Sebaliknya, ada pula yang panik dan percaya semua keputihan adalah berbahaya.
Lebih membimbangkan, ramai memilih kaedah tradisional seperti meruang atau menggunakan pencuci faraj beraroma kuat kononnya, untuk “membersihkan faraj” sedangkan tindakan ini boleh merosakkan keseimbangan pH semula jadi dan mengundang jangkitan yang lebih teruk.
Artikel ini bukan sekadar untuk menjawab soalan anda sama ada keputihan itu normal atau bahaya. Ia ditulis bagi membantu anda memahami jenis keputihan wanita yang sihat, mengenal pasti tanda-tanda amaran dan paling penting mengetahui bentuk rawatan terbaik dan selamat untuk ibu hamil.
“Vaginal health is vital to overall health. When the vagina is not healthy, it can affect the quality of sex and orgasms. It also may affect pregnancy.”
Adakah Keputihan Itu Normal?

YA! Untuk wanita yang sedang hamil, peningkatan keputihan wanita adalah sangat normal dan sering dikenali sebagai Leukorea Kehamilan (Pregnancy Leukorrhea). Ini adalah tindak balas fisiologi badan yang sihat dan bermanfaat.
Tetapi kenapa keputihan ini berlaku?
- Peningkatan Hormon: Peningkatan paras hormon Estrogen dan Progesteron yang mendadak semasa kehamilan, terutamanya pada trimester pertama, merangsang kelenjar pada serviks dan dinding faraj untuk menghasilkan lebih banyak lendir.
- Peningkatan Aliran Darah: Terdapat peningkatan aliran darah yang mendadak ke kawasan pelvis, menyebabkan dinding faraj dan serviks menjadi lebih lembut dan menghasilkan lebih banyak rembesan.
- Mekanisme Perlindungan: Keputihan berfungsi sebagai sistem pembersihan semula jadi faraj. Ia membawa keluar sel-sel mati dan bakteria lama, membantu mencegah jangkitan daripada bergerak naik ke rahim, melindungi serviks dan memastikan saluran kelahiran kekal bersih.
Adakah Keputihan Berbahaya?
Walaupun sebahagian besar keputihan wanita semasa hamil adalah normal, ia boleh menjadi berbahaya jika ia disebabkan oleh jangkitan. Kehamilan, dengan perubahan hormonnya yang drastik dan peningkatan gula (glikogen) dalam faraj, menjadikan ibu hamil lebih terdedah kepada jangkitan.
Sebagai ibu hamil, anda perlu cakna bahawa jangkitan yang tidak dirawat boleh membawa risiko serius kepada anda dan bayi. Berikut adalah tiga jenis utama keputihan patologi serta komplikasiya:
1. Vaginosis Bakteria (Bacterial Vaginosis – BV)
BV adalah ketidakseimbangan flora bakteria di dalam faraj. Jika anda mengalami keputihan berwarna kelabu nipis dengan bau hanyir yang kuat, ini mungkin BV.
- Risiko Kepada Ibu: BV meningkatkan risiko jangkitan serius selepas bersalin (Postpartum Infection) atau jangkitan pada rahim.
- Risiko Kepada Bayi: Komplikasi yang paling dikhuatiri ialah Kelahiran Pramatang (Preterm Birth), di mana bayi lahir terlalu awal. Ia juga boleh menyebabkan Berat Badan Bayi Rendah (LBW) dan jangkitan pada janin.
2. Kandidiasis (Jangkitan Yis atau Kulat)
Jangkitan yis sering terjadi kepada ibu hamil kerana perubahan hormon meningkatkan kandungan gula di faraj, mewujudkan persekitaran ideal untuk pertumbuhan kulat. Keputihan jenis ini biasanya putih pekat, berketul-ketul seperti dadih dan disertai kegatalan yang amat teruk.
- Risiko Kepada Ibu: Meskipun tidak mengancam nyawa, ia menyebabkan kegatalan dan ketidakselesaan yang melampau pada faraj, mengganggu kualiti hidup harian dan tidur.
- Risiko Kepada Bayi: Bayi boleh dijangkiti kulat semasa melalui saluran kelahiran, menyebabkan thrush (jangkitan kulat) pada mulut bayi.
3. Trikomoniasis & Jangkitan Menular Seksual (STI) Lain
Jangkitan seperti Trikomoniasis (disebabkan parasit) sering menunjukkan keputihan kuning kehijauan, berbuih dan berbau busuk.
- Risiko Kepada Ibu: Jangkitan ini boleh menyebabkan Radang Pelvik (PID). Walaupun jarang, ia juga boleh menyukarkan kehamilan pada masa hadapan jika tidak dirawat.
- Risiko Kepada Bayi: Sama seperti BV, ia meningkatkan risiko Kelahiran Pramatang. Selain itu, STI tertentu (seperti Gonorea) boleh menyebabkan jangkitan serius, termasuk jangkitan mata pada bayi baru lahir.
Semua Perempuan Alami Keputihan ke?
Ya. Keputihan adalah proses fisiologi semula jadi bagi setiap wanita akil baligh, tanpa mengira status perkahwinan atau kehamilan.
Malah, keputihan memainkan peranan penting dalam kitaran haid:
- Fasa Subur (Ovulasi): Keputihan akan menjadi sangat jernih, licin dan elastik (seperti putih telur mentah) untuk membantu pergerakan sperma.
- Fasa Luteal (Selepas Ovulasi): Keputihan akan menjadi lebih tebal dan melekit.
- Kehamilan: Seperti yang dibincangkan, jumlahnya akan meningkat secara keseluruhan.
Keputihan bukanlah tanda kelemahan, tetapi tanda bahawa sistem reproduktif anda berfungsi sebagaimana mestinya.
Sifat Keputihan Wanita Yang Sihat
Untuk membezakan antara yang sihat dan yang tidak, anda perlu memerhati tiga sifat utama ini: Warna, bau dan tekstur.
Warna
Keputihan wanita yang sihat biasanya berwarna jernih atau putih susu. Warna ini menandakan keadaan faraj yang normal, bersih dan bebas daripada jangkitan. Ia terbentuk hasil proses semula jadi tubuh wanita yang berfungsi untuk membersihkan faraj daripada sel mati dan bakteria, sekali gus mengekalkan keseimbangan pH yang sihat.
Semasa ovulasi atau awal kehamilan, jumlah keputihan mungkin sedikit meningkat dan warnanya menjadi lebih pekat keputihan, namun ini masih dianggap normal. Selagi keputihan tidak berubah warna menjadi kekuningan, kehijauan, kelabu, atau berdarah dan tidak disertai bau kuat atau rasa gatal, ia menandakan faraj berada dalam keadaan sihat dan stabil.
Ringkasnya, warna jernih hingga putih susu adalah petanda bahawa sistem reproduktif wanita berfungsi dengan baik, satu tanda positif bagi wanita hamil atau mereka yang sedang menjaga kesihatan faraj dengan betul.
Bau
Secara normal, keputihan wanita yang sihat tidak mempunyai bau kuat. Ia mungkin berbau sangat ringan atau hampir tiada bau langsung, bergantung kepada tahap hormon dan kebersihan faraj seseorang. Bau yang neutral ini menandakan keseimbangan semula jadi bakteria baik (lactobacillus) dalam faraj masih terpelihara.
Jika bau berubah menjadi kuat, hanyir atau busuk, itu isyarat jelas untuk anda dapatkan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca sebenar dan mendapatkan rawatan yang cepat.
Tekstur

Keputihan wanita yang sihat biasanya mempunyai tekstur yang cair, nipis atau sedikit berlendir, bergantung kepada fasa kitaran haid dan perubahan hormon semasa kehamilan.
Dalam keadaan normal, keputihan akan kelihatan licin dan jernih seperti putih telur mentah yang dikenali sebagai leukorea. Tekstur ini menandakan faraj dalam keadaan sihat dan sistem pembiakan berfungsi dengan baik. Ia juga membantu melindungi kawasan faraj daripada bakteria jahat dengan mengekalkan kelembapan semula jadi.
Semasa kehamilan, terutama menjelang trimester akhir, keputihan boleh menjadi sedikit lebih pekat atau melekit akibat penghasilan mucus plug (lendir pelindung rahim). Ini masih dianggap normal selagi tidak berbau kuat, tidak berketul dan tidak menyebabkan rasa gatal.
Jika keputihan menjadi terlalu pekat, berbuih atau menyebabkan ketidakselesaan, itu menandakan perubahan yang perlu diperiksa oleh doktor.
Ciri – Ciri Keputihan
Apabila anda melihat perubahan dalam warna keputihan wanita, bau atau tekstur, jangan berlengah. Perubahan ini memerlukan tindakan pantas untuk melindungi kesihatan anda dan kandungan.
Keputihan Yang Berketul

Punca Utama bagi keputihan berketul adalah Jangkitan Yis atau lebih dikenali sebagai Kandidiasis. Jangkitan ini sering berlaku semasa hamil kerana hormon progesteron meningkatkan paras glikogen, iaitu gula dalam faraj, yang menjadi persekitaran terbaik untuk pertumbuhan kulat Candida.
Rawatan untuk masalah ini melibatkan penggunaan ubat antikulat topikal seperti krim atau pessary yang terbukti selamat digunakan sepanjang tempoh kehamilan.
Keputihan Berbau Busuk
Keputihan yang mengeluarkan bau busuk sering disebabkan oleh Vaginosis Bakteria (BV). Ciri khas BV ialah ia menghasilkan bau hanyir yang sangat kuat, terutamanya selepas hubungan seksual dan teksturnya biasanya kelabu atau putih nipis.
Kesan utama jangkitan BV adalah ia meningkatkan risiko kelahiran pramatang, menjadikannya satu isu yang tidak boleh diabaikan. Rawatan yang diberikan adalah antibiotik oral atau gel yang telah disahkan selamat untuk ibu hamil.
Keputihan Yang Jernih / Cair
Situasi ini menimbulkan punca yang mencurigakan, iaitu kebocoran Cecair Amniotik atau air ketuban. Perbezaannya ialah keputihan normal hanya akan keluar seketika dan kemudian berhenti mengalir, manakala cecair amniotik akan terus mengalir, selalunya dalam jumlah yang banyak, jernih dan mungkin berbau manis (berbeza daripada bau air kencing).
Tindakan yang paling selamat ialah segera ke hospital atau klinik berdekatan jika anda mendapati lendir berair yang banyak dan sukar dikawal untuk menjalani ujian ringkas seperti ujian kertas Litmus atau Fern Test.
Cara Hilangkan Gatal di Faraj
Rasa gatal yang melampau, terutamanya jika disertakan dengan keputihan gatal dan kemerahan, adalah tanda keradangan atau jangkitan. Fokus utama adalah mendapatkan rawatan yang betul, tetapi ada langkah yang boleh diambil untuk melegakan simptom:
Tradisional
- Pakai Pakaian Dalam Jenis Kapas: Kapas membenarkan pengudaraan yang lebih baik, mengurangkan kelembapan yang menggalakkan pertumbuhan kulat.
- Elak Pakaian Ketat: Seluar jeans atau legging yang terlalu ketat memerangkap haba dan kelembapan.
- Kebersihan yang Betul: Cuci bahagian luar faraj (vulva) dengan air suam sahaja dan lap dari depan ke belakang. Elak meruang (douching) kerana ia mengganggu flora normal faraj.
- Kurangkan Gula: Jangkitan yis “suka” gula. Mengawal pengambilan gula dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan.
Moden
- Pemeriksaan Klinikal: Ujian makmal atau Ujian Wet Mount adalah kaedah paling tepat untuk mengesan punca gatal (jangkitan yis, BV atau Trichomoniasis).
- Pemulihan Keseimbangan Flora: Penggunaan probiotik yang mengandungi strain Lactobacillus tertentu boleh membantu mengembalikan keseimbangan bakteria sihat dalam faraj.
Ubat Gatal Faraj

- Ubat Antikulat Topikal: Untuk Jangkitan Yis, doktor mungkin akan memberikan krim atau pessary (tablet yang dimasukkan ke dalam faraj) seperti Clotrimazole atau Miconazole. Rawatan ini adalah setempat (lokal) dan selamat untuk kehamilan.
- Antibiotik: Untuk Vaginosis Bakteria (BV) atau Trichomoniasis, antibiotik seperti Metronidazole (oral atau gel) akan diberikan mengikut dos yang selamat dan dipantau oleh doktor.
Namun semasa hamil, anda dinasihatkan untuk tidak mengamil sebarang ubat tanpa nasihat doktor.
“Correct intimate care may contribute to improved genital and sexual health and overall well-being. An increased awareness of correct practices will empower women to be the advocates of their own intimate health.”
Rawatan Keputihan di Klinik AYRA
Peningkatan keputihan wanita semasa kehamilan adalah normal. Namun, kehamilan juga meningkatkan risiko jangkitan seperti Jangkitan Yis dan Vaginosis Bakteria, yang memerlukan perhatian segera. Mengesan dan merawat punca keputihan patologi pada peringkat awal adalah pelaburan terbaik untuk kehamilan yang sihat dan kelahiran yang selamat.
Keselamatan anda dan bayi adalah keutamaan. Jangan biarkan ketidakselesaan atau kebimbangan tentang keputihan banyak mengganggu perjalanan kehamilan indah anda.
Di Klinik Ayra, kami tidak hanya merawat simptom tetapi kami mencari punca akar masalah keputihan wanita anda.
Rawatan kami merangkumi:
1. Pemeriksaan faraj menyeluruh (vaginal swab)
2. Ujian makmal untuk kulat & bakteria
3. Ubat keputihan wanita selamat untuk ibu mengandung
4. Konsultasi susulan peribadi oleh doktor wanita berpengalaman
Klinik Ayra menggunakan pendekatan holistik, menggabungkan rawatan perubatan moden dengan panduan penjagaan diri bagi mengekalkan keseimbangan flora faraj.
Hubungi Klinik Ayra hari ini untuk temujanji pemeriksaan kesihatan intim dan dapatkan ketenangan fikiran yang anda perlukan.
Rujukan:
1. Punca Keputihan
https://hellodoktor.com/kesihatan-wanita/wanita-lain/punca-keputihan-banyak/ diakses pada 20 Oktober 2025.
2. Bacterial Vaginosis
https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/bacterial-vaginosis diakses pada 20 Oktober 2025.
3. Vaginal Discharge
https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC8377920/ diakses pada 20 Oktober 2025.
4. Keputihan
https://hellodoktor.com/kesihatan-wanita/wanita-lain/keputihan-apa-yang-patut-anda-faham/ diakses pada 20 Oktober 2025.
5. Vaginosis
https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/3963-bacterial-vaginosis diakses pada 20 Oktober 2025.
Disclaimer :
Artikel ini telah disemak dan disahkan oleh :
Prof Madya Dr. Mohd Faizal bin Ahmad
Doctor of Medicine (MD), University Putra Malaysia
Wakil Malaysia untuk Asian Society of Fertility Preservation
Prof Madya Dr. Mohd Faizal bin Ahmad adalah doktor pakar kesuburan berdaftar dan sah dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dengan nombor pendaftaran penuh (No. 48056)




One Comment