Kanser rahim kini menjadi antara ancaman terbesar kesihatan wanita di Malaysia. Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kira-kira 5% wanita Malaysia berisiko menghidapi penyakit ini dengan sebahagiannya dikesan hanya selepas mencapai tahap serius (Tahap 3 atau 4).
Kelewatan diagnosis kanser ini sering berpunca daripada mitos dan stigma. Ramai wanita masih percaya kanser rahim hanya menyerang wanita berusia atau yang sudah menopaus. Hakikatnya, pesakit muda seawal 20-an kini turut dikesan di Malaysia, terutamanya jika mempunyai faktor risiko seperti obesiti atau PCOS.
Antara salah faham lain yang masih popular dalam kalangan masyarakat yang menjadi penghalang wanita untuk buat pemeriksaan adalah:
“Kalau tiada simptom, maksudnya rahim sihat.”
“Kanser rahim cuma berlaku kalau tak jaga kebersihan.”
“Ujian Pap Smear sudah cukup.”
“Kalau kena kanser, mesti kena buang rahim.”
Salah faham ini menyebabkan ramai wanita tidak melakukan pemeriksaan awal, lalu kanser ini hanya dikesan apabila berada di tahap sukar dirawat.
Anda perlu tahu cara membezakan simptom biasa dengan risiko sebenar kanser, memahami risiko dan tahu bila perlu dapatkan rawatan. Kerana kanser ini bukan hanya meragut kesuburan, ia boleh mengancam nyawa jika diabaikan.
Artikel ini akan membongkar segalanya tentang kanser rahim di Malaysia dari tanda awal kanser, punca, ujian saringan, rawatan hingga ke kadar survival.
“The International Federation of Gynecology and Obstetrics (FIGO) reports those diagnosed with stage I endometrial cancer… have a relative five-year survival rate of 85% to 95%. Presenting to a doctor with symptoms for early detection is important.”
Kanser Rahim Dalam Sains
Kanser rahim (juga dikenali sebagai kanser endometriumi) berlaku apabila sel-sel pada lapisan dalam rahim tumbuh secara tidak terkawal. Ia boleh merebak dari lapisan endometrium ke organ berhampiran seperti miometrium (lapisan otot rahim), ovari, pundi kencing dan usus besar.
Faktor utama termasuk ketidakseimbangan hormon estrogen, obesiti, diabetes dan sejarah keluarga menghidap kanser. Pendedahan estrogen berlebihan, terutamanya tanpa diimbangi oleh progesteron, merangsang pertumbuhan endometrium secara abnormal (Hiperplasia Endometrium) yang boleh meyebabkan kanser.
Kanser Rahim vs Kanser Servik
Ramai keliru antara kanser rahim dan Kanser Servik kerana kedua-duanya melibatkan organ reproduktif wanita. Berikut adalah perbezaan yang perlu anda ambil tahu:
| Jenis Kanser | Bahagian Rahim yang Terlibat | Punca Utama | Saringan Khas |
| Kanser Rahim (Endometrium) | Lapisan dalam rahim (Endometrium). | Estrogen berlebihan (Obesiti, Hormon). | Transvaginal Ultrasound & Biopsi. |
| Kanser Servik (Pangkal Rahim) | Pangkal rahim (Serviks). | Jangkitan Human Papillomavirus (HPV). | Ujian Pap Smear & Ujian HPV DNA. |
Tanda Awal Kanser Rahim
Mengetahui tanda awal kanser ini ialah langkah pertama yang boleh menyelamatkan nyawa wanita. Kajian menunjukkan bahawa 90% wanita yang didiagnosis dengan kanser jenis ini mengalami pendarahan faraj tidak normal (American Cancer Society, 2023).
Namun begitu, corak pendarahan ini berbeza mengikut status haid seseorang wanita, sama ada masih mengalami haid atau telah menopaus.
1. Pendarahan Tidak Normal

Pendarahan luar biasa ialah tanda paling lazim. Walaupun ia sering berlaku pada wanita menopaus, wanita yang masih mengalami kitaran haid juga tidak terkecuali.
Bagi wanita belum menopaus, pendarahan tidak normal termasuk:
- Haid yang terlalu banyak dan berlarutan lebih daripada 7 hari.
- Pendarahan yang berlaku di antara dua kitaran haid.
- Haid yang datang terlalu kerap (setiap 21 hari atau lebih awal).
- Pendarahan sebelum atau selepas hubungan intim.
Bagi wanita menopaus, sebarang pendarahan faraj yang berlaku selepas setahun berhenti haid dianggap tidak normal dan perlu diperiksa segera.
Setiap kes pendarahan luar biasa akan dinilai melalui ultrasound rahim dan ujian Pap Smear, bagi membezakan sama ada puncanya berpunca daripada kanser rahim tahap 1 atau masalah lain seperti fibroid, gangguan tiroid atau terapi hormon.
2. Keputihan Berbau atau Berdarah
Keputihan yang berterusan, berwarna coklat, merah jambu atau berdarah merupakan tanda awal yang tidak boleh diabaikan. Apabila disertai bau tidak menyenangkan, ia menunjukkan kemungkinan perubahan pada sel endometrium di lapisan rahim.
Baca Juga: HURAIAN : Keputihan Wanita Semasa Hamil Normal Atau Bahaya?
3. Sakit di Bahagian Pelvis atau Perut Bawah

Rasa sakit, tekanan atau tidak selesa secara berterusan di bahagian pelvis sering dialami apabila sel kanser mula menekan tisu sekeliling. Rasa nyilu ini boleh muncul secara berkala atau berpanjangan walaupun tanpa aktiviti fizikal berat.
4. Sakit Ketika Bersama
Kesakitan semasa hubungan intim boleh menandakan kanser telah merebak ke kawasan berhampiran serviks atau tisu pelvis. Simptom ini sering disalah anggap sebagai jangkitan biasa, menyebabkan ramai wanita datang lewat untuk pemeriksaan.
5. Penurunan Berat Badan & Gejala Umum

Selain pendarahan, kanser endometrium tahap awal juga boleh menimbulkan gejala sistemik apabila tumor membesar atau hormon badan terganggu, antaranya:
- Hilang selera makan & penurunan berat badan tanpa sebab.
- Kelesuan berpanjangan.
- Kembung perut atau rasa cepat kenyang.
- Perubahan corak buang air kecil atau besar.
- Rasa keras atau wujud ketulan pada bahagian bawah perut atau pinggang.
- Sakit belakang atau pinggang tanpa punca jelas.
Walaupun simptom ini nampak ringan, ia adalah amaran awal bahawa rahim sedang mengalami perubahan sel yang tidak normal.
Risiko Kanser Rahim
Kanser rahim di Malaysia sangat dikaitkan dengan faktor gaya hidup. Beberapa faktor utama meningkatkan risiko kanser rahim:
Umur: Risiko meningkat selepas usia 40 tahun, dengan kebanyakan kes dikesan dalam kalangan wanita berumur 50–74 tahun.
Obesiti: Lemak badan yang berlebihan boleh meningkatkan paras estrogen, sekali gus meningkatkan risiko kanser endometrium.
Terapi hormon tanpa pengawasan: Penggunaan estrogen tanpa progesteron untuk rawatan hormon penggantian boleh mencetuskan pertumbuhan tidak normal pada lapisan rahim.
Belum pernah hamil: Wanita yang tidak pernah melahirkan anak mempunyai risiko lebih tinggi kerana pendedahan berpanjangan terhadap estrogen tanpa tempoh ovulasi yang stabil.
Kitaran haid tidak teratur: Masalah seperti anovulasi kronik (tiada ovulasi) atau haid yang jarang berlaku boleh menyebabkan penebalan lapisan rahim.
Diabetes: Tahap insulin tinggi dan gangguan metabolik turut dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser rahim.
Sindrom Ovari Polisistik (PCOS): Keadaan ini menyebabkan ketidakseimbangan hormon dan kitaran haid tidak teratur.
Hiperplasia endometrium: Penebalan abnormal pada lapisan dalam rahim boleh menjadi peringkat awal sebelum berlakunya kanser.
Sejarah keluarga: Risiko meningkat jika terdapat ahli keluarga terdekat yang pernah menghidap kanser endometrium atau kanser kolon (sindrom Lynch).
Penggunaan Tamoxifen: Ubat yang digunakan untuk rawatan kanser payudara ini boleh meningkatkan risiko kanser rahim jika digunakan dalam jangka masa panjang.
Cara Elak Kena Kanser Rahim
Pencegahan adalah pelaburan terbaik untuk masa depan anda. Berikut langkah disyorkan untuk mengurangkan risiko kanser:
- Kekalkan Berat Badan Ideal: Ini langkah paling kritikal. Obesiti adalah faktor risiko yang boleh diubah suai.
- Senaman Rutin: Lakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari.
- Kawalan Diet: Kurangkan pengambilan gula dan lemak, tingkatkan serat dan sayur-sayuran.
- Saringan Berkala: Jalani ujian saringan awal seperti Transvaginal Ultrasound rahim (untuk mengukur ketebalan endometrium) secara tahunan jika anda berisiko tinggi.
- Vaksin HPV: Dapatkan perlindungan tambahan, terutamanya untuk mencegah Kanser Serviks (yang berkongsi organ yang sama).
Ujian Pengesahan Kanser Rahim
Untuk memastikan diagnosis tepat, beberapa ujian moden disediakan:
Ujian PAP Smear

Ujian asas untuk mengesan perubahan sel serviks. Disarankan dilakukan setiap 1 hingga 3 tahun (mengikut risiko) bagi wanita yang aktif secara seksual.
Vaksin HPV
Perlindungan aktif untuk mencegah jangkitan Human Papillomavirus. Penting bagi kesihatan reproduktif menyeluruh.
Colposcopy
Alat optik khas digunakan untuk meneliti tisu serviks secara terperinci. Ia adalah langkah susulan jika Pap Smear anda mencurigakan.
Transvaginal Ultrasound Scan
Ujian Paling Kritikal untuk Kanser Rahim. Menggunakan gelombang bunyi berketepatan tinggi untuk melihat ketebalan lapisan rahim (Endometrial Thickness – ET) dan sebarang pertumbuhan luar biasa (polip/fibroid). Ketebalan ET yang abnormal adalah amaran utama untuk check kanser rahim lebih lanjut.
Biopsi Endometrium
Sampel kecil tisu rahim diambil untuk dianalisis di makmal bagi menentukan sama ada sel kanser wujud.
Histeroskopi
Prosedur menggunakan kamera kecil dimasukkan ke dalam rahim untuk melihat struktur dalaman dengan jelas. Memberi pandangan visual kepada doktor untuk mengambil sampel biopsi yang paling tepat.
Gabungan ujian ini memberi ketepatan diagnosis tinggi, membolehkan rawatan dimulakan segera.
Tahap Dalam Kanser Rahim
Mengetahui Tahap (Stage) kanser sangat penting untuk merancang rawatan dan memahami prognosis awal.
Tahap 1 (Stage 1)
Kanser hanya berada di dalam rahim. Kadar survival melebihi 85%.
Tahap 2 (Stage 2)
Kanser mula merebak ke serviks (pangkal rahim) tetapi belum merebak ke luar pelvis.
Tahap 3 (Stage 3)
Penyebaran ke ovari, tiub fallopio, vagina atau nodus limfa di pelvis/sekitar aorta.
Tahap 4 (Stage 4)
Kanser merebak ke organ jauh (metastasis) seperti pundi kencing, usus, paru-paru atau hati.
Kadar Survival Kanser Rahim
Kadar survival bagi pesakit kanser rahim di Malaysia sangat bergantung pada tahap penyakit ketika ia dikesan. Apabila kanser ini dikesan awal, peluang untuk pulih adalah tinggi, namun apabila ia dikesan lewat, prognosis menurun dengan ketara.
Menurut Laporan “Malaysia National Cancer Registry Report 2017–2021” yang diterbitkan oleh Institut Kanser Negara (IKN), kanser rahim kini termasuk dalam 10 jenis kanser paling kerap dikesan di Malaysia, selepas kanser payudara, kolorektal dan paru-paru.
Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah 65.1% daripada kes kanser di Malaysia dikesan pada tahap 3 dan 4, meningkat daripada 63.7% dalam tempoh laporan sebelumnya. Data ini sejajar dengan Malaysian Study on Cancer Survival (2018) yang menegaskan bahawa kadar kelangsungan hidup pesakit kanser menurun secara drastik apabila rawatan hanya bermula pada peringkat lewat.
Kajian tersebut menunjukkan bahawa pesakit kanser jenis ini yang dikesan pada tahap awal (Stage 1) mempunyai kadar survival 5 tahun sekitar 85–90%, manakala pesakit yang hanya dikesan pada tahap 4 mencatat kadar survival kurang daripada 20%.
Perlu Buang Rahim ke?
Tidak semestinya.
Rawatan bergantung pada tahap dan keadaan kesihatan pesakit. Dalam kes awal, ubat hormon atau pembedahan kecil sudah mencukupi. Pembuangan rahim (histerektomi) hanya disarankan jika kanser merebak luas.
Rawatan Kanser Rahim di Klinik Ayra
Klinik Ayra menawarkan rawatan menyeluruh bermula daripada:
- Pemeriksaan & Diagnostik Pantas: Pap Smear, Ultrasound Transvaginal terkini, dan Biopsi Endometrium (jika perlu).
- Rawatan Hormon & Pemantauan: Untuk kes-kes hiperplasia endometrium (pra-kanser) atau kanser tahap awal terpilih.
- Rujukan Onkologi Terkawal: Untuk kes lanjutan, kami menyediakan rujukan segera kepada pakar onkologi dan hospital pakar terkemuka, memastikan anda memotong barisan dan menerima rawatan definitif tanpa lengah.
- Sokongan & Pemulihan: Kaunseling dan rawatan susulan pasca-rawatan, termasuk terapi hormon yang sesuai.
“Cervical and uterine cancers can be largely prevented through vaccination and regular screening.”
Kanser ini bukan penyakit yang boleh dilengahkan. Ia bermula perlahan, tanpa tanda jelas, tetapi boleh membawa maut jika diabaikan. Kesedaran, pemeriksaan dan tindakan awal adalah kunci utama.
Di Klinik Ayra, setiap pemeriksaan check kanser rahim dilakukan dengan penuh teliti, privasi dijaga dan hasil diperoleh dengan pantas..
Langkahnya mudah:
- Tempah slot pemeriksaan hari ini.
- Lakukan ujian Pap Smear atau Ultrasound rahim.
- Terima laporan dan nasihat rawatan terus dari doktor pakar.
Jangan tunggu simptom muncul. Dapatkan pemeriksaan kanser rahim di Klinik Ayra hari ini
Rujukan:
1. Survival Rates
https://www.cancer.org/cancer/types/endometrial-cancer/detection-diagnosis-staging/survival-rates.html diakses pada 21 Oktober 2025
2. Uterine Cancer
https://www.cdc.gov/uterine-cancer/ diakses pada 21 Oktober 2025
3. Cancer of the Uterus
https://gleneagles.com.my/penang/ms/articles/cancer-of-the-uterus diakses pada 21 Oktober 2025
4. Endometrial Cancer
https://www.obermair.info/latest-news/blog/what-is-the-survival-rate-for-endometrial-cancer/ diakses pada 21 Oktober 2025
5. Simptom, Diagnosis, Rawatan
https://www.pantai.com.my/ms/medical-specialties/oncology/uterine-cancer diakses pada 21 Oktober 2025
Disclaimer :
Artikel ini telah disemak dan disahkan oleh :
Prof Madya Dr. Mohd Faizal bin Ahmad
Doctor of Medicine (MD), University Putra Malaysia
Wakil Malaysia untuk Asian Society of Fertility Preservation
Prof Madya Dr. Mohd Faizal bin Ahmad adalah doktor pakar kesuburan berdaftar dan sah dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dengan nombor pendaftaran penuh (No. 48056)




One Comment