Melihat dua garis merah pada ujian kehamilan (UPT) adalah momen yang indah. Namun, pastinya anda berasa bimbang apabila tiba-tiba terdapat kesan darah pada pakaian dalam. Adakah itu haid? Atau adakah itu tanda sesuatu yang buruk sedang berlaku? Situasi period tapi mengandung adalah antara topik yang paling banyak dicari, namun seringkali disalah fahami oleh wanita.
Di Malaysia, terdapat pelbagai stigma dan mitos menyelubungi isu period tapi mengandung. Ada yang menganggap ia adalah “darah kotor” yang perlu keluar walaupun sedang hamil. Malah, ada juga segelintir masyarakat yang percaya bahawa seorang wanita boleh mengalami “datang bulan” secara normal sepanjang sembilan bulan kehamilan. Mitos-mitos ini sangat berbahaya kerana ia sering menyebabkan wanita melengah-lengahkan pemeriksaan doktor, sedangkan pendarahan tersebut mungkin merupakan tanda awal keguguran atau kehamilan ektopik. Ketahuilah, secara biologinya, haid dan kehamilan tidak boleh berlaku serentak. Jika ada darah, itu bukan haid, itu adalah pendarahan faraj yang memerlukan penjelasan klinikal.
Dalam dunia kesihatan reproduktif wanita, maklumat yang tepat perlu untuk menyelamatkan ibu dan kandungannya. Sama ada anda sedang mencari pengalaman period tapi mengandung daripada orang lain atau bimbang tentang sakit perut macam nak period tapi mengandung, panduan ini direka untuk memberikan anda kejelasan.
“Pendarahan pada trimester pertama berlaku dalam kira-kira 15% hingga 25% daripada semua kehamilan yang didokumentasikan. Walaupun ia sering berakhir dengan kelahiran yang sihat, setiap pendarahan harus dianggap sebagai amaran sehingga dibuktikan sebaliknya oleh pemeriksaan profesional.” — The American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG)
Boleh ke Period Tapi Mengandung?
Secara saintifik, anda tidak boleh mengalami haid semasa hamil. Haid berlaku apabila telur tidak disenyawakan, menyebabkan tahap hormon jatuh dan dinding rahim (endometrium) luruh.
Apabila anda mengandung, hormon progesteron akan meningkat untuk mengekalkan dinding rahim tersebut bagi melindungi janin. Jadi, jika anda mengalami pendarahan, ia bukanlah “period” dalam erti kata yang sebenar.
Namun, ramai wanita melaporkan situasi period seeprti biasa tapi mengandung kerana mereka mengalami pendarahan yang berlaku tepat pada waktu kitaran haid sepatutnya tiba. Ini biasanya disebabkan oleh pendarahan implantasi atau perubahan hormon awal, bukannya luruhnya dinding rahim secara keseluruhan.
Adakah Pendarahan Masa Mengandung Ini Bahaya?
Jawapannya: Ia bergantung.
Sebagai doktor di Klinik Ayra, saya selalu memberitahu pesakit bahawa “spotting” adalah biasa, tetapi ia tidak boleh dipandang remeh. Statistik menunjukkan hampir 25% wanita hamil mengalami pendarahan pada trimester pertama.
Pendarahan menjadi bahaya apabila ia disertai dengan kesakitan yang melampau atau jumlah darah yang banyak. Ia boleh menjadi isyarat kepada keguguran atau masalah plasenta. Pemeriksaan klinikal adalah satu-satunya cara untuk mengesahkan bahawa segalanya berada dalam keadaan yang baik.
Ramai ke Wanita yang Alami Situasi “Period” Masa Awal Hamil?
Ya, ia lebih lazim daripada yang anda jangkakan. Kajian klinikal mendapati ramai wanita mengalami mengandung tapi datang bulan (atau mereka sangka sebagai datang bulan) terutamanya pada 12 minggu yang pertama.
Kebanyakannya adalah kes ringan yang tidak menjejaskan kandungan. Namun, kelewatan mendapatkan diagnosis sering kali berpunca daripada anggapan bahawa “ini adalah normal”. Ingat, setiap kehamilan adalah unik. Jangan bandingkan keselamatan bayi anda dengan pengalaman orang sekeliling anda tanpa pengesahan secara medikal.
Beza Darah Period vs Pendarahan Awal Kehamilan
Salah satu persoalan paling kerap ditanya oleh wanita ialah: “Saya keluar darah, ini period atau tanda awal mengandung?” Kekeliruan ini sangat biasa kerana kedua-duanya boleh berlaku dalam tempoh masa yang hampir sama. Namun dari sudut perubatan, terdapat beberapa perbezaan klinikal yang jelas antara darah haid (period) dan pendarahan awal kehamilan.
Sebagai doktor di Klinik Ayra, inilah aspek utama yang kami nilai ketika pesakit datang dengan aduan keluar darah tetapi ujian kehamilan menunjukkan keputusan positif.
1. Warna Darah
Darah haid lazimnya bermula dengan warna merah terang dan akan menjadi semakin gelap kehitaman menjelang hari terakhir haid. Warna ini menunjukkan darah yang keluar secara aktif daripada lapisan rahim (endometrium) yang luruh sepenuhnya.
Sebaliknya, pendarahan awal kehamilan termasuk pendarahan implantasi, selalunya berwarna merah jambu pudar, coklat gelap, atau coklat kehitaman. Warna ini menandakan darah lama yang keluar sedikit demi sedikit, bukannya pendarahan aktif yang deras. Inilah sebab mengapa ramai wanita menggambarkannya sebagai “tompokan” atau “kesan darah” sahaja, bukan aliran penuh seperti haid.
2. Aliran Darah (Flow)
Aliran darah adalah petunjuk yang sangat penting. Dalam haid biasa, aliran darah biasanya konsisten dan bertambah banyak, terutamanya pada hari kedua dan ketiga. Wanita selalunya perlu menukar tuala wanita setiap beberapa jam dan dalam kes tertentu boleh berlaku aliran darah yang sangat banyak.
Jika anda mengalami situasi mengandung tapi period heavy sehingga perlu menukar tuala wanita setiap satu hingga dua jam, ini bukan keadaan normal dan perlu diperiksa segera. Pendarahan awal kehamilan biasanya ringan (spotting), tidak berterusan dan sering kali tidak memerlukan penggunaan tuala wanita tebal. Dalam kebanyakan kes, darah hanya kelihatan ketika membuang air kecil atau ketika mengelap bahagian tersebut.
3. Tempoh Masa Pendarahan
Tempoh pendarahan juga membezakan antara kedua-duanya. Haid normal biasanya berlangsung antara 3 hingga 7 hari, dengan corak yang agak konsisten setiap bulan mengikut sejarah individu.
Pendarahan awal kehamilan pula lazimnya singkat, selalunya hanya beberapa jam hingga maksimum satu atau dua hari. Ia tidak berlarutan seperti haid biasa. Jika pendarahan berterusan hampir seminggu dengan aliran yang menyerupai haid, ia tidak boleh dianggap sebagai pendarahan normal kehamilan dan memerlukan pemeriksaan lanjut, termasuk ujian darah hormon hCG dan imbasan ultrasound.
4. Simptom Sampingan
Haid sering disertai simptom seperti senggugut biasa, sakit belakang ringan, atau perubahan emosi sementara. Kesakitan ini biasanya simetri dan berkurang dengan ubat tahan sakit biasa.
Pendarahan awal kehamilan pula boleh berlaku tanpa sakit langsung, atau hanya disertai rasa tidak selesa ringan. Namun, jika pendarahan datang bersama sakit perut sebelah, sakit pinggang yang berterusan, pening atau hampir pitam, ini boleh menandakan masalah serius seperti kehamilan luar rahim dan bukan sekadar implantasi.
Ciri-Ciri Darah Tak Normal
Tidak semua pendarahan semasa awal kehamilan membawa maksud bahaya. Namun, terdapat ciri-ciri tertentu yang menunjukkan pendarahan itu bukan pendarahan biasa dan memerlukan pemeriksaan segera. Jangan berlengah jika anda melihat tanda-tanda berikut:
Darah Berketul dan Banyak
Kehadiran darah berketul (blood clots), terutamanya jika jumlahnya semakin banyak atau keluar berulang kali, biasanya menandakan tisu dari dalam rahim sedang luruh. Dalam konteks kehamilan, keadaan ini sangat membimbangkan kerana ia boleh menunjukkan:
- Risiko keguguran
- Kehamilan tidak berkembang dengan baik
- Pendarahan dari lapisan rahim yang tidak stabil
Berbeza dengan darah haid biasa, darah berketul semasa mengandung selalunya disertai dengan rasa berat di bahagian bawah perut, kejang yang berpanjangan, atau pendarahan yang sukar berhenti. Ini bukan keadaan yang boleh dipantau sendiri di rumah tanpa penilaian doktor.
Darah Berwarna Merah Segar
Darah merah segar menandakan pendarahan aktif, bukan darah lama yang tertinggal dalam rahim. Ini bermaksud terdapat salur darah yang sedang terbuka dan berdarah pada masa itu.
Dalam kehamilan awal, darah merah terang boleh dikaitkan dengan:
- Ancaman keguguran (threatened miscarriage)
- Masalah pada serviks
- Kehamilan luar rahim
Jika darah merah segar keluar secara berterusan, walaupun tanpa sakit yang ketara, ia tetap perlu dianggap serius. Pendarahan aktif boleh berubah menjadi kecemasan dengan cepat jika tidak dikenal pasti puncanya.
Sakit Perut atau Cramp yang Teruk

Rasa sakit perut seperti senggugut semasa mengandung tidak sepatutnya kuat atau berpanjangan. Jika anda mengalami sakit yang:
- Lebih kuat daripada senggugut biasa
- Tidak berkurang walaupun selepas berehat
- Berlaku di sebelah kanan atau kiri sahaja
- Disertai spotting atau pendarahan
ini adalah tanda amaran penting.
Kesakitan yang tertumpu di satu sisi, terutamanya apabila disertai darah, boleh menjadi petunjuk kepada kehamilan luar rahim. Dalam keadaan ini, kehamilan tidak berada di dalam rahim dan tekanan pada tiub fallopio boleh menyebabkan kesakitan yang semakin kuat dalam masa singkat.
Jangan tunggu sehingga sakit menjadi tidak tertahan atau disertai pening dan lemah badan. Lebih awal anda diperiksa, lebih besar peluang untuk elakkan komplikasi serius.
Punca Period Tapi Mengandung
Ramai wanita berasa keliru dan cemas apabila UPT menunjukkan positif tetapi masih keluar darah seperti period. Secara klinikal, keadaan ini memang boleh berlaku dan ia tidak semestinya bermaksud keguguran, tetapi ia juga tidak boleh diabaikan. Berikut ialah punca-punca utama yang dikenal pasti berdasarkan pemerhatian secara klinikal.

Pendarahan Implantasi (Implantation Bleeding)
Ini merupakan punca paling lazim bagi situasi period tapi mengandung, terutamanya pada peringkat awal kehamilan. Pendarahan implantasi biasanya berlaku sekitar 6 hingga 12 hari selepas persenyawaan, iaitu ketika embrio mula melekat dan “menggali” masuk ke dalam lapisan dinding rahim (endometrium).
Proses ini boleh menyebabkan salur darah halus pada dinding rahim pecah, lalu menghasilkan pendarahan ringan. Dari sudut klinikal, darah implantasi lazimnya berwarna merah jambu pudar atau coklat gelap, kuantiti sangat sedikit (spotting), bertahan beberapa jam hingga 1–2 hari sahaja dan tidak disertai sakit perut yang kuat
Disebabkan masa berlakunya hampir dengan jangkaan haid, ramai wanita menyangka ini adalah period biasa, sedangkan sebenarnya mereka sudah hamil.
Kehamilan Tersembunyi (Cryptic Pregnancy)
Cryptic pregnancy ialah keadaan jarang tetapi diakui secara perubatan, di mana seseorang wanita hamil tetapi tahap hormon HCG terlalu rendah untuk dikesan awal atau masih mengalami pendarahan berkala yang menyerupai haid.
Dalam kes ini, wanita mungkin langsung tidak sedar dirinya hamil sehingga kandungan sudah memasuki trimester kedua atau ketiga. Dari sudut klinikal, pendarahan yang berlaku bukanlah haid sebenar, tetapi pendarahan hormon atau pendarahan serviks yang disalah tafsir sebagai period.
Faktor seperti kitaran haid tidak teratur, masalah hormon, atau berat badan ekstrem boleh menyumbang kepada situasi ini.
Ketidakseimbangan Hormon
Progesteron ialah hormon utama yang bertanggungjawab untuk mengekalkan kehamilan, khususnya pada trimester pertama. Jika tahap progesteron tidak mencukupi, lapisan dinding rahim boleh menjadi tidak stabil dan menyebabkan breakthrough bleeding, pendarahan yang menyerupai haid walaupun kehamilan sedang berlaku.
Keadaan ini sering dilihat pada wanita yang mempunyai sejarah PCOS, pernah mengalami keguguran, mengalami stres melampau dan baru berhenti mengambil pil perancang.
Secara klinikal, ketidakseimbangan hormon boleh dikesan melalui ujian darah hormon dan kebiasaannya dirawat dengan ubat penguat rahim bagi mengurangkan risiko keguguran.
Masalah Polip Serviks
Semasa hamil, paras estrogen dalam badan meningkat dengan ketara. Ini menyebabkan serviks (pangkal rahim) menjadi lebih lembut dan sensitif. Jika terdapat polip serviks, iaitu ketumbuhan kecil, ia boleh mudah berdarah walaupun akibat geseran ringan seperti hubungan kelamin, pemeriksaan pelvik atau senaman tertentu
Pendarahan akibat polip serviks biasanya berwarna merah segar, berlaku secara tiba-tiba dan tidak berkait dengan kesakitan rahim. Walaupun kebanyakannya tidak berbahaya, pemeriksaan doktor tetap diperlukan untuk memastikan punca sebenar dan menilai risiko kepada kandungan.
Jangkitan Organ Peranakan atau Penyakit Kelamin (STI)
Jangkitan pada serviks atau faraj termasuk jangkitan kuman atau penyakit kelamin seperti chlamydia dan gonorrhea boleh menyebabkan keradangan dan pendarahan, terutamanya ketika hamil apabila tisu menjadi lebih sensitif.
Jika tidak dirawat, jangkitan boleh menyebabkan pendarahan berulang, menjejaskan kantung kehamilan dan meningkatkan risiko keguguran atau jangkitan rahim. Secara klinikal, jangkitan ini biasanya dikesan melalui ujian swab dan ujian makmal. Rawatan awal amat penting untuk melindungi ibu serta janin.
Cara Pastikan Kandungan Anda Selamat
Apabila berlaku pendarahan walaupun ujian kehamilan (UPT) positif, keutamaan utama ialah memastikan kandungan berada di lokasi yang betul, berkembang secara normal dan tidak berada dalam keadaan berisiko. Dalam perubatan, ini tidak boleh dibuat berdasarkan andaian atau simptom semata-mata kerana ia perlu disahkan melalui beberapa langkah klinikal yang spesifik.
Ujian Darah HCG Kuantitatif
Berbeza dengan UPT biasa yang hanya memberikan keputusan positif atau negatif, ujian darah HCG kuantitatif mengukur paras sebenar hormon human chorionic gonadotropin (HCG) di dalam darah.
Secara klinikal, dalam kehamilan yang normal dan sihat, paras HCG akan meningkat kira-kira dua kali ganda setiap 48–72 jam pada trimester pertama. Corak peningkatan ini memberi gambaran sama ada kehamilan sedang berkembang dengan baik, berisiko keguguran, atau mencurigakan ke arah kehamilan luar rahim.
Itulah sebabnya doktor akan mengulangi ujian HCG dalam selang masa 48 jam, bukan sekadar sekali. Jika kenaikan HCG mencukupi dan konsisten, ia tanda kehamilan intrauterin yang berdaya maju. Tetapi jika ia perlahan, mendatar atau menurun, itu merupakan petunjuk awal masalah seperti keguguran atau kehamilan ektopik.
Ujian ini sangat penting terutamanya bagi wanita yang mengalami situasi period tapi mengandung, kerana pendarahan boleh mengaburi keadaan sebenar kehamilan jika tidak dinilai secara objektif melalui data hormon.
Imbasan Ultrasound (Ultrabunyi)

Ultrasound merupakan langkah pengesahan paling penting dalam memastikan keselamatan kandungan. Bergantung kepada usia kehamilan dan simptom, doktor akan memilih sama ada:
-
Ultrasound transvaginal (lebih sensitif untuk kehamilan awal), atau
-
Ultrasound abdomen (apabila kandungan sudah lebih jelas)
Melalui imbasan ini, doktor akan menilai beberapa perkara kritikal seperti kedudukan kantung kehamilan samada dalam rahim atau di luar rahim, saiz dan bentuk kantung, kehadiran yolk sac dan fetal pole serta denyutan jantung janin (biasanya boleh dikesan sekitar minggu ke-6)
Bagi wanita yang risau kerana mengalami pendarahan seakan haid, melihat kantung kehamilan berada di dalam rahim dan denyutan jantung bayi adalah bukti paling meyakinkan bahawa kandungan sedang berkembang dengan sihat.
Pengambilan Ubat Kuat Rahim
Sebahagian wanita, terutama yang mengalami pendarahan awal kehamilan atau sejarah keguguran, paras progesteron mungkin tidak mencukupi. Keadaan ini boleh menyebabkan dinding rahim menjadi tidak stabil dan mengakibatkan pendarahan berulang. Maka, ubat kuat rahim akan diberikan untuk menguatkan persekitaran rahim dan memberi peluang terbaik kepada janin untuk terus berkembang dengan stabil.
Penting untuk difahami bahawa ubat kuat rahim bukan rawatan universal untuk semua kes pendarahan, tetapi ia sangat berkesan apabila punca sebenar dikenal pasti dan rawatan diberikan secara tepat.
Pemeriksaan Kandungan di Klinik AYRA
“Kesihatan ibu adalah asas kepada kesihatan masyarakat. Setiap simptom yang luar biasa semasa kehamilan adalah peluang untuk intervensi awal yang menyelamatkan nyawa.” — World Health Organization (WHO)
Masalah period tapi mengandung adalah isyarat daripada badan anda yang memerlukan perhatian. Sama ada ia hanyalah pendarahan implantasi yang normal atau punca yang lebih serius seperti ketidakseimbangan hormon, kunci utamanya adalah pemeriksaan awal. Jangan biarkan spekulasi dan mitos di media sosial menentukan nasib kandungan anda.
Di Klinik Ayra, kami menawarkan gabungan kepakaran klinikal dan teknologi imbasan ultrasound untuk memastikan andan dan bayi berada dalam keadaan yang sihat.
Jangan tunggu sehingga pendarahan menjadi lebih teruk. Lindungi masa depan cahaya mata anda sekarang. Hubungi Klinik Ayra hari ini untuk temujanji dan biarkan kami bantu anda melalui perjalanan kehamilan yang selamat dan bermakna.
Rujukan
- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). (2025). Handbook of Obstetrics Guideline: Management of Vaginal Bleeding in Pregnancy. Diakses pada 23 Disember 2025.
- Mayo Clinic. (2025). Bleeding During Pregnancy: Is It Normal? Diakses pada 23 Disember 2025.
- Free Malaysia Today (FMT). (2020). The difference between implantation and menstruation. Diakses pada 23 Disember 2025
- Cleveland Clinic. (2025). Can You Be Pregnant but Still Get Your Period? Diakses pada 23 Disember 2025
- National Institutes of Health (NIH). (2025). Vaginal bleeding during pregnancy: a retrospective cohort study assessing maternal and perinatal outcomes. Diakses pada 23 Disember 2025
Disclaimer :
Artikel ini telah disemak dan disahkan oleh :
Prof Madya Dr. Mohd Faizal bin Ahmad
Doctor of Medicine (MD), University Putra Malaysia
Wakil Malaysia untuk Asian Society of Fertility Preservation
Prof Madya Dr. Mohd Faizal bin Ahmad adalah doktor pakar kesuburan berdaftar dan sah dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dengan nombor pendaftaran penuh (No. 48056)



