Isu penjagaan selepas bersalin bukan lagi sekadar ikut adat atau tradisi, tetapi satu keputusan penting yang menentukan kesihatan jangka panjang setiap ibu yang baru melahirkan. Ramai wanita masih keliru sama ada mahu meneruskan petua berpantang lama, atau memilih pendekatan perubatan moden.

Hakikatnya, tempoh selepas bersalin adalah fasa yang sangat kritikal untuk tubuh seorang wanita. Ia bukan sekadar masa untuk “berehat”, tetapi tempoh pemulihan menyeluruh yang melibatkan perubahan hormon, proses penyembuhan luka, penyusuan, emosi yang tidak stabil, hingga kepada risiko komplikasi seperti pendarahan, jangkitan, baby blues atau postpartum depression. Walaupun ia sebuah perjalanan yang indah, “trimester keempat” ini datang dengan cabaran fizikal dan mental yang sering kali tidak diceritakan.

Namun, penjagaan selepas bersalin masih dipengaruhi oleh pelbagai stigma dan salah faham yang boleh mengganggu pemulihan ibu. Ada yang percaya bahawa minum banyak air akan menyebabkan “bentan”, sedangkan dehidrasi boleh melambatkan penyembuhan. Ada pula yang menganggap membaca atau menggunakan telefon akan melemahkan mata, walhal perubahan penglihatan selepas bersalin sebenarnya berpunca daripada hormon dan bukannya akibat membaca. 

Ramai juga masih percaya ibu perlu berkurung dalam bilik panas tanpa kipas untuk “mempercepatkan pemulihan”, sedangkan panas melampau boleh meningkatkan risiko jangkitan pada luka dan menjejaskan penyusuan. Tidak kurang juga stigma bahawa “sakit selepas bersalin itu normal”, menyebabkan ramai wanita menahan kesakitan atau mengabaikan tanda bahaya yang sebenarnya memerlukan rawatan segera.

Setiap ibu perlu fahami apa yang sebenarnya berlaku pada tubuh mereka dan bagaimana penjagaan yang betul mampu mempercepat pemulihan serta mencegah komplikasi yang boleh menjejaskan masa depan kesihatan anda. Teruskan membaca, kerana artikel ini ditulis khas untuk membantu anda pulih dengan selamat, kuat dan yakin melangkah ke fasa baharu dalam dunia keibuan.

“Penjagaan selepas bersalin sama pentingnya seperti penjagaan semasa hamil, kerana fasa ini menentukan kesihatan fizikal dan emosi seorang wanita untuk jangka masa panjang.” World Health Organization (WHO, 2022)

Tempoh penjagaan diri selepas bersalin

Tempoh selepas bersalin atau postpartum period dikenali sebagai puerperium, iaitu enam minggu pertama selepas kelahiran. Pada tempoh ini, tubuh wanita sedang melalui proses transformasi semula, rahim mengecut, hormon berubah secara mendadak dan luka sama ada di perineum atau C-sec sedang sembuh. 

Inilah fasa paling kritikal di mana penjagaan selepas bersalin perlu dilakukan dengan betul. Kesilapan kecil seperti tidak menjaga kebersihan luka atau menahan sakit terlalu lama boleh membawa kepada komplikasi seperti jangkitan serius atau masalah penyusuan.

Pendarahan selepas melahirkan anak

Penjagaan Selepas BersalinPendarahan selepas bersalin, atau lochia, adalah satu proses normal dan tanda bahawa rahim anda sedang membersihkan diri daripada lapisan yang terbentuk sepanjang kehamilan. Dalam beberapa jam pertama selepas melahirkan, pendarahan biasanya lebih banyak kerana rahim masih mengecut semula kepada saiz asalnya. Darah ini boleh datang sama ada daripada rahim atau daripada koyakan perineum yang berlaku semasa proses kelahiran.

Dalam beberapa hari berikutnya, jumlah pendarahan akan berkurang secara berperingkat, disertai perubahan warna yang tipikal: bermula dengan merah terang, kemudian bertukar coklat, dan akhirnya menjadi kekuningan atau putih. Proses lochia ini biasanya berterusan sehingga 6 minggu selepas bersalin dan dianggap normal sepanjang tempoh ini selagi ia semakin berkurang.

Namun, pendarahan yang berterusan atau terlalu banyak bukanlah normal. Jika pendarahan kekal banyak melebihi dua minggu, berbau busuk, keluar bersama ketulan besar, atau disertai simptom seperti demam dan pening, ini boleh menjadi tanda postpartum haemorrhage (tumpah darah selepas bersalin) atau jangkitan rahim. Dalam keadaan ini, anda perlu mendapatkan rawatan perubatan segera kerana tumpah darah selepas bersalin adalah komplikasi serius yang boleh mengancam nyawa.

Berapa lama tempoh darah nifas keluar?

Secara purata, darah nifas keluar selama 4–6 minggu. Namun, bagi wanita yang bersalin C-sec atau mempunyai komplikasi tertentu, tempohnya boleh berbeza. Penjagaan selepas bersalin yang betul seperti rehat mencukupi, pengurusan tekanan dan kebersihan luka membantu mempercepatkan penghentian nifas dan mengurangkan risiko jangkitan.

Perubahan yang Berlaku kepada Tubuh Ibu

Cecair faraj

Selepas bersalin, faraj akan mengeluarkan lochia. Ini bukan sekadar darah, tetapi juga sisa tisu rahim. Anda mungkin merasa kekeringan faraj akibat hormon estrogen yang menurun selepas kelahiran. Keadaan ini normal dan akan pulih secara beransur.

Urin

Ramai wanita mengalami kesukaran mengawal kencing atau rasa pedih ketika membuang air kecil, terutama jika terdapat luka di perineum. Senaman kegel dan hidrasi yang cukup membantu menguatkan otot lantai pelvis serta mempercepatkan pemulihan.

Najis

Sembelit adalah perkara biasa, terutama dalam beberapa hari pertama selepas bersalin. Hormon, ubat tahan sakit dan kurang pergerakan menyumbang kepada masalah ini. Pemakanan kaya serat serta air yang mencukupi sangat membantu.

Payudara

Payudara akan membengkak akibat penghasilan susu (engorgement). Bagi ibu yang menyusu, pam secara berkala dan teknik latch yang betul sangat penting. Bagi ibu yang tidak menyusu, penggunaan cold pack membantu mengurangkan bengkak.

Sakit & tak selesa

Selepas bersalin, badan masih dalam mod “trauma fizikal”. Rahim mengecut, luka sedang sembuh dan otot lantai pelvis sedang menyesuaikan diri. Penjagaan selepas bersalin yang betul dapat mengurangkan rasa sakit serta mempercepatkan pemulihan.

Perubahan emosi

Penjagaan Selepas BersalinTurun naik hormon boleh menyebabkan baby blues, tetapi jika berlarutan lebih daripada dua minggu, itu mungkin tanda awal postpartum depression. Pemantauan emosi adalah sama penting dengan penjagaan fizikal selepas bersalin.

Risiko Abaikan Penjagaan Selepas Bersalin

Penjagaan selepas bersalin bukan sekadar berpantang, ia adalah tempoh kritikal yang menentukan kesihatan fizikal dan mental seorang ibu untuk jangka panjang. Mengabaikan penjagaan asas dalam tempoh ini boleh membawa kepada komplikasi serius yang memerlukan rawatan segera.

1. Postpartum Haemorrhage 

Tumpah darah selepas bersalin (postpartum haemorrhage, PPH) ialah punca utama kematian ibu di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Ia berlaku apabila ibu kehilangan lebih daripada 500 ml darah selepas kelahiran normal atau lebih daripada 1,000 ml selepas pembedahan C-sec dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran.

Punca utama termasuk:

  • rahim gagal mengecut (uterine atony),
  • koyakan teruk pada perineum atau vagina,
  • sisa uri tidak keluar sepenuhnya,
  • atau gangguan pembekuan darah.

Simptom awal yang perlu diberi perhatian ialah pendarahan yang sangat banyak atau berterusan, pening atau hampir pitam, jantung berdegup laju, kulit pucat atau berpeluh sejuk.

PPH boleh dicegah atau dikesan awal jika ibu memantau perubahan pada jumlah darah nifas dan terus mendapatkan rawatan jika tanda amaran muncul.

2. Jangkitan (Infection)

Tempoh selepas bersalin ialah masa tubuh mudah terdedah kepada jangkitan, terutamanya pada rahim, saluran kencing, payudara dan luka bersalin. Jangkitan yang tidak dirawat boleh merebak ke darah dan menyebabkan sepsis.

• Endometritis

Endometritis ialah keradangan pada lapisan dalam rahim yang disebabkan oleh jangkitan bakteria. Risiko lebih tinggi jika uri tidak dikeluarkan sepenuhnya, prosedur bersalin panjang atau kompleks dan kebersihan semasa nifas tidak dijaga.

Tanda-tanda yang perlu diperhatikan adalah demam, sakit perut bawah, lochia berbau busuk dan pendarahan yang tidak berkurang.

• Jangkitan Saluran Kencing (UTI)

Sangat biasa dalam tempoh selepas bersalin, terutama jika anda menggunakan kateter semasa proses kelahiran atau mengalami kesukaran mengawal kencing. Gejala termasuk pedih semasa kencing, kerap kencing tetapi sedikit, demam dan sakit di bahagian bawah abdomen. Jika tidak dirawat, UTI boleh naik ke buah pinggang (pyelonephritis).

• Mastitis

Mastitis ialah jangkitan pada tisu payudara, biasanya berpunca daripada saluran susu tersumbat. Gejala seperti payudara bengkak, panas dan merah, sakit ketika menyusu, demam tinggi dan menggigil. Jika dibiarkan, ia boleh menjadi abses yang memerlukan pembedahan kecil.

• Jangkitan Luka Semasa Tempoh Nifas

Luka episiotomi, koyakan perineum atau luka pembedahan C-sec sangat mudah dijangkiti jika kebersihan tidak dijaga, luka selalu lembap, ibu tidak membuat pemeriksaan susulan. Tanda bahaya termasuk kemerahan, nanah, bau busuk atau luka terbuka.

3. Septic Pelvic Thrombophlebitis

Jarang terjadi tetapi sangat serius, berlaku apabila terdapat bekuan darah yang dijangkiti bakteria dalam urat pelvis. Ibu mungkin mengalami demam tinggi yang berpanjangan, sakit perut atau pinggul, tiada respon kepada antibiotik biasa. Ia memerlukan rawatan segera kerana boleh menyebabkan embolisme dan sepsis.

4. Gangguan Endokrin Semasa Tempoh Nifas

Hormon mengalami turun naik mendadak selepas melahirkan anak. Ini boleh menyebabkan:

  • postpartum thyroiditis (tiroid terlalu aktif atau tidak aktif),
  • masalah penghasilan susu,
  • perubahan haid yang tidak menentu,
  • emosi tidak stabil, mudah marah atau keletihan melampau.

Gangguan tiroid selepas bersalin sering tidak disedari kerana simptomnya menyerupai “keletihan ibu baru”.

5. Gangguan Psikiatrik Selepas Bersalin

Kesihatan mental selepas bersalin sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Gangguan psikiatrik termasuk:

  • Postpartum Baby Blues
    Berlaku pada 70–80% ibu pada minggu pertama, biasanya ringan dan sementara.
  • Postpartum Depression (PPD)
    Lebih serius, berlangsung lebih lama dan menjejaskan fungsi harian. Gejala termasuk kesedihan berpanjangan, hilang minat, rasa bersalah melampau atau gangguan tidur.
  • Postpartum Anxiety / OCD
    Ibu mengalami rasa takut berlebihan, berdebar, fikiran obsesif tentang keselamatan bayi atau diri.
  • Postpartum Psychosis
    Jarang tetapi berbahaya. Tanda seperti halusinasi, delusi, kebingungan teruk. Memerlukan rawatan segera di hospital.

9 Tips Penjagaan Selepas Bersalin

1. Penyembuhan perineum

Luka perineum, sama ada koyakan semula jadi atau episiotomi memerlukan penjagaan rapi kerana kawasan ini lembut, lembap dan mudah dijangkiti kuman. Penyembuhan biasanya mengambil masa 2–3 minggu, tetapi dengan penjagaan yang betul, ia boleh pulih lebih cepat dan mengurangkan risiko jangkitan.

Guna pad

Gunakan maternity pad yang sangat lembut, tebal dan tidak berbau (non-woven) untuk serap darah nifas yang banyak dan lembut pada luka. Tukar pad dengan kerap, sekurang-kurangnya setiap 2-4 jam, walaupun aliran darah telah berkurangan. Penukaran kerap adalah perlu untuk menjaga kebersihan dan menghalang pembiakan bakteria serta mengurangkan risiko jangkitan pada luka atau jahitan.

Pek ais

Untuk 24-48 jam pertama, guna pek ais yang dibalut dengan kain bersih pada kawasan yang bengkak atau sakit amat membantu. Suhu yang sejuk bertindak sebagai anestetik semula jadi, berkesan mengurangkan bengkak dan kesakitan dengan menyempitkan salur darah dan mengebaskan kawasan tersebut. 

Air suam

Air suam sangat penting dalam penjagaan selepas bersalin. Walaupun mandi air sejuk memang menyegarkan, ibu baru perlu elakkan air sejuk buat sementara waktu. Selepas bersalin, kawasan faraj dan rektum menjadi lebih sensitif, sukar dibersihkan dan mudah dijangkiti kuman.

Menggunakan air suam membantu:

  • membersihkan kawasan faraj dan rektum dengan lebih lembut dan selamat
  • mengurangkan rasa pedih dan ketidakselesaan
  • mengurangkan bengkak
  • menyokong proses pemulihan luka

Caranya mudah: gunakan air suam setiap kali mandi atau mencuci bahagian sulit dan lakukan dengan perlahan tanpa menggosok terlalu kuat. Ini membantu memastikan luka cepat sembuh dan kekal bersih tanpa risiko jangkitan.

2. Penjagaan parut C-Sec

Pastikan kawasan parut kering, bersih dan tidak ditekan. Elakkan pakaian ketat yang menggesel. Jangan sapu minyak atau herba tanpa nasihat doktor kerana sesetengah bahan tradisional boleh menyebabkan kerengsaan atau jangkitan.

3. Senaman Kegel

Kegel membantu menguatkan otot lantai pelvis yang menyokong pundi kencing, rahim dan usus. Kelebihan kegel antaranya adalah mengurangkan masalah kencing bocor, mengembalikan kekuatan faraj dan meningkatkan aliran darah ke perineum (lebih cepat sembuh)

4. Bersenam

Aktiviti fizikal yang ringan sebenarnya boleh memberi banyak manfaat kepada ibu selepas bersalin. Ia bukan sahaja membantu meningkatkan kualiti tidur, malah turut menyokong proses penurunan berat badan dan mengurangkan gejala perubahan mood. Namun begitu, sebelum memulakan sebarang rutin atau bentuk senaman, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada doktor untuk memastikan ia selamat dan sesuai dengan keadaan tubuh anda.

5. Pemakanan seimbang

Penjagaan Selepas BersalinPemakanan memainkan peranan penting dalam membaiki tisu, menambah darah dan menguatkan sistem imun. Fokus pada makanan tinggi zat besi, protein, serat dan air. Elakkan pantang ekstrem yang boleh melemahkan badan.

6. Berehat

Badan ibu mengalami kehilangan darah, perubahan hormon dan keletihan fizikal. Penyembuhan tubuh paling aktif adalah ketika tidur. Tidur yang cukup membantu menstabilkan hormon, kurangkan stress dan mempercepatkan pemulihan rahim.

7. Dapatkan bantuan

Ini bukan masa untuk menjadi superwoman. Walaupun anda gembira menyambut kelahiran si manja, itu tidak bermakna anda perlu memikul semua tanggungjawab penjagaan bayi seorang diri. Jika terlalu letih, anda berisiko mengalami tekanan dan ini boleh menjejaskan proses penyembuhan serta emosi anda.

Sokongan suami, keluarga dan rakan sangat penting supaya anda boleh fokus kepada pemulihan, penyusuan dan kestabilan emosi tanpa rasa terbeban. Jangan segan meminta pertolongan ahli keluarga terdekat yang boleh membantu meringankan beban anda.

8. Elakkan mengangkat objek berat

Jika anda telah menjalani pembedahan Caesarean, mengangkat objek berat boleh menegangkan otot perut dan rahim, seterusnya meningkatkan risiko komplikasi sepanjang proses pemulihan. Luka pembedahan juga memerlukan masa untuk sembuh sepenuhnya dan sebarang tekanan berlebihan boleh melambatkan proses tersebut..

9. Hadkan tetamu

Bukan sebab sombong tetapi untuk kurangkan tekanan dan risiko jangkitan pada bayi dan ibu. Tubuh anda masih lemah dan memerlukan privasi untuk menyusu dan berehat.

 

Mitos Berpantang Popular Yang Perlu Dielakkan

1. Jangan minum banyak air

Penjagaan Selepas BersalinIni adalah salah faham yang boleh membahayakan kesihatan. Selepas bersalin, tubuh kehilangan banyak cecair melalui peluh, penyusuan dan pendarahan nifas. Kekurangan air boleh menyebabkan sembelit, dehidrasi dan meningkatkan risiko jangkitan saluran kencing (UTI). Pengambilan air yang mencukupi perlu untuk menyokong penyembuhan tubuh dan penghasilan susu ibu.

2. Tidak boleh membaca buku
Tiada bukti saintifik yang menunjukkan aktiviti membaca atau melihat skrin boleh memudaratkan mata atau melambatkan pemulihan selepas bersalin. Ini hanyalah amalan budaya turun-temurun yang tidak berasaskan fakta. Apa yang penting ialah ibu mendapat rehat mencukupi dan mengelakkan keletihan melampau, bukan menghentikan aktiviti ringan yang menenangkan minda.

3. Jangan mandi atau basahkan rambut
Kebersihan diri amat penting bagi mengelakkan jangkitan luka bersalin, jangkitan kulit dan bau tidak selesa ketika tempoh nifas. Mandi air suam sebenarnya membantu melancarkan peredaran darah, melegakan otot dan memberikan keselesaan. Yang perlu dijaga ialah suhu air dan elakkan tubuh daripada kesejukan melampau.

4. Jangan guna kipas atau penghawa dingin
Penggunaan kipas atau penghawa dingin tidak menyebabkan penyakit. Pengudaraan yang baik membantu mengawal suhu badan, mengurangkan peluh berlebihan dan mewujudkan persekitaran yang bersih. Ini juga mengurangkan risiko pertumbuhan bakteria yang boleh mencetuskan jangkitan, terutama jika ibu mengalami luka bersalin atau C-sec. Yang penting ialah memastikan suhu bilik selesa dan tidak terlalu sejuk.

5. Jangan makan makanan sejuk
Tiada bukti kukuh yang menunjukkan suhu makanan boleh menjejaskan proses pemulihan selepas bersalin. Yang penting ialah kandungan nutrisi makanan tersebut. Ibu berpantang memerlukan protein, zat besi, kalsium, vitamin dan serat untuk membantu penyembuhan tisu, mengelakkan anemia dan menyokong penyusuan badan. Makanan sejuk tidak memudaratkan selagi ia segar, bersih dan bernutrisi.

“Pemeriksaan postnatal KKM dirancang untuk mengesan secara awal tanda-tanda jangkitan, pendarahan atau gangguan emosi supaya sebarang komplikasi dapat dirawat dengan cepat.”

Berdasarkan Objektif Postnatal, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Pemeriksaan Selepas Bersalin di Klinik Ayra

Kesihatan anda adalah keutamaan. Dengan memahami asas penjagaan selepas bersalin, anda bukan hanya mempercepatkan proses penyembuhan, tetapi juga melindungi diri daripada komplikasi berbahaya. Badan anda baru melalui pengalaman luar biasa dan ia berhak menerima penjagaan terbaik. Setiap ibu layak menerima rawatan yang profesional dan menyeluruh supaya kembali sihat dan kuat.

Penjagaan selepas bersalin bukan sekadar tentang berpantang; ia tentang kesihatan fizikal, emosi dan hormon. Di Klinik Ayra, pemeriksaan dilakukan secara komprehensif termasuk pemeriksaan luka, hormon, tekanan darah, jangkitan, kesihatan mental, penyusuan dan kesihatan pelvis. 

Hubungi Klinik Ayra hari ini kerana perjalanan pemulihan selepas bersalin anda bermula dengan langkah yang betul.

Penjagaan Selepas Bersalin

Rujukan:

  1. Postnatal

https://hq.moh.gov.my/bpkk/index.php/perkhidmatan-yang-disediakan/postnatal/objektif diakses pada 20 November 2025

  1. Garis Panduan

https://hq.moh.gov.my/ohp/images/pdf/3.-klinikal/garis-panduan/gp_im_2023.pdf diakses pada 20 November 2025

  1. Newborn Care

https://www.who.int/publications/i/item/9789240045989 diakses pada 20 November 2025

  1. Nasihat Bersalin

https://www.ummc.edu.my/files/HealthPhamplet/RISALAH%20NASIHAT%20SELEPAS%20BERSALIN%20-%2024%20Mei%202011.pdf diakses pada 20 November 2025

  1. Penjagaan Postnatal

https://hq.moh.gov.my/tcm/ms/upload/garispanduan/ptp/ManualPenjagaanPostnatal.pdf diakses pada 20 November 2025

 

Disclaimer : 

Artikel ini telah disemak dan disahkan oleh : 

Prof Madya Dr. Mohd Faizal bin Ahmad 

Doctor of Medicine (MD), University Putra Malaysia

Wakil Malaysia untuk Asian Society of Fertility Preservation

Prof Madya Dr. Mohd Faizal bin Ahmad adalah doktor pakar kesuburan berdaftar dan sah dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dengan nombor pendaftaran penuh (No. 48056)