Berdasarkan kajian, dianggarkan bahawa lebih daripada 10% wanita Malaysia mungkin mempunyai simptom PCOS tanpa mereka sedari. Angka ini menunjukkan bahawa PCOS adalah isu kesihatan yang meluas dan memerlukan diagnosis serta pengurusan yang betul.
Dalam bidang kesihatan wanita masa kini, Sindrom Ovari Polikistik (PCOS) semakin kerap berlaku bukan sahaja dalam kalangan wanita yang sudah berkahwin, tetapi juga remaja seawal usia 18 tahun. PCOS adalah masalah gangguan hormon yang memberi kesan kepada proses ovulasi, kitaran haid dan keupayaan untuk hamil.
Artikel ini bertujuan untuk menyediakan panduan yang menyeluruh bagi membincangkan simptom utama PCOS, punca-punca, kaedah diagnosis klinikal, serta pilihan rawatan yang berkesan.
Di Malaysia, banyak salah tanggapan yang perlu diperjelaskan mengenai PCOS. Anggapan umum yang sering disalah tafsir dalam masyarakat termasuk:
“PCOS hanya berlaku pada wanita yang mempunyai berat badan berlebihan.”
“Jika haid datang setiap bulan, bermakna saya tidak ada PCOS.”
“PCOS sama dengan sista ovari (cyst).”
“Wanita yang belum berkahwin tidak perlu risau tentang PCOS.”
Hakikatnya, semua andaian ini salah. PCOS tidak memilih usia, berat badan atau status perkahwinan. Malah, remaja yang baru mula haid pun boleh mengalami simptom awal seperti jerawat teruk, haid tidak teratur dan pertambahan berat badan yang cepat.
Artikel ini bukan sekadar senarai simptom, tetapi panduan lengkap daripada sudut pandangan doktor tentang cara mengenal pasti tanda-tanda awal PCOS, punca-punca sebenar dan kaedah rawatan paling sesuai untuk wanita Malaysia.
Jika anda pernah terfikir, “Adakah saya mempunyai tanda PCOS?”, teruskan membaca untuk memahami apa yang berlaku pada badan anda.
“PCOS bukan sekadar isu haid tidak teratur, ia adalah gangguan hormon yang boleh menjejaskan kesihatan keseluruhan wanita jika tidak dirawat.”
Apa Itu PCOS?
PCOS (Polycystic Ovary Syndrome) adalah gangguan hormon di mana ovari menghasilkan hormon lelaki (androgen) yang berlebihan. Lebihan hormon ini mengganggu proses ovulasi, menyebabkan kitaran haid yang tidak teratur dan menyukarkan kehamilan.
Menurut garis panduan klinikal, PCOS sering dikaitkan dengan kehadiran banyak folikel kecil pada ovari yang dapat dilihat melalui imbasan ultrasound. Folikel-folikel ini merupakan kantung yang mengandungi telur yang belum matang, yang gagal berkembang dan dilepaskan secara normal (ovulasi) setiap bulan. Kegagalan ovulasi inilah yang menjadi punca utama gangguan haid dan masalah kesuburan dalam kalangan wanita.
Punca PCOS
Punca sebenar PCOS masih tidak jelas, namun beberapa faktor utama yang telah dikenalpasti adalah:
- Rintangan Insulin: Ini adalah faktor penyumbang utama. Tahap insulin yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan peningkatan pengeluaran hormon androgen oleh ovari, yang seterusnya mengganggu proses ovulasi normal.
- Ketidakseimbangan Hormon: Selain hormon androgen, berlaku gangguan dalam hormon gonadotropin yang menyebabkan klasikal abnormal LH:FSH ratio di dalam PCOS yang seterusnya menganggu perkembangan folikel pada ovari dan menyumbang masalah ovulasi.
- Keradangan: Keradangan gred rendah didapati boleh merangsang ovari untuk menghasilkan androgen yang berlebihan dan menyumbang kepada masalah rintangan insulin.
- Faktor Keturunan (Genetik): Wanita yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap PCOS lebih berisiko tinggi untuk mengalami masalah yang sama.
- Faktor Gaya Hidup: Amalan gaya hidup yang kurang sihat, termasuk diet yang tidak betul (tinggi gula dan makanan diproses), kurang bersenam dan tekanan (stres) kronik, boleh memburukkan lagi simptom PCOS yang sedia ada.
10 Simptom PCOS Pada Wanita
Berikut adalah 10 simptom PCOS yang biasa dialami, kadang-kadang dikesan seawal usia 18 tahun:
1. Kitaran Haid Tidak Teratur

Kitaran haid yang sangat panjang (lebih 35 hari) atau haid yang datang hanya beberapa kali dalam setahun.
2. Pertambahan Berat Badan
Kenaikan berat badan yang cepat dan sukar dikawal, terutamanya di bahagian perut, sering disebabkan oleh rintangan insulin.
3. Jerawat Kronik

Jerawat yang teruk, berulang dan sukar sembuh, terutamanya di bahagian muka, dada dan belakang badan.
4. Tumbuh Bulu Lebat Di Wajah & Badan
Pertumbuhan bulu yang berlebihan di wajah, dada, perut dan anggota badan lain, akibat lebihan hormon lelaki.
5. Rambut Gugur
Hormon tidak stabil boleh menyebabkan rambut menipis di kepala, menyerupai corak keguguran rambut lelaki.
6. Masalah Kesuburan
Kesukaran untuk hamil kerana ovulasi yang tidak berlaku secara normal atau kerap.
7. Kulit Gelap Di Leher & Ketiak
Kulit menjadi gelap dan tebal di kawasan lipatan seperti leher, ketiak dan celah paha, tanda rintangan insulin.
8. Keletihan Berpanjangan
Kenaikan dan penurunan paras gula darah yang tidak stabil boleh menyebabkan tenaga tidak menentu dan keletihan yang berterusan.
9. Gangguan Emosi
Ketidakseimbangan hormon boleh mencetuskan rasa cemas, stres, kemurungan dan perubahan mood yang mendadak.
10. Sukar Mengurangkan Berat Badan
Walaupun telah berusaha dengan diet dan senaman, ketidakseimbangan hormon menghalang proses pembakaran lemak badan.
Cara Diagnosis PCOS
Ramai wanita menyangka simptom PCOS boleh dikenal pasti hanya dengan melihat perubahan luaran seperti haid tidak teratur atau jerawat teruk. Seseorang akan didiagnosis dengan PCOS apabila memenuhi 2 daripada 3 kriteria: haid tak teratur dan ciri-ciri hyperandrogenism, ketidakseimbangan LH:FSH, polycystic ovaries dalam ultrasoud (Rotterdam criteria)
Kebanyakan kes PCOS dikesan apabila wanita datang berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai masalah haid, kesuburan, atau perubahan berat badan yang mendadak.
Dalam proses diagnosis, doktor akan:
- Bertanya tentang simptom yang dialami dan sejarah kesihatan keluarga, termasuk sama ada ahli keluarga mempunyai diabetes, gangguan hormon, atau masalah kesuburan.
- Meneliti jika anda pernah menjalani rawatan hormon atau kesuburan sebelum ini.
Untuk mendapatkan kepastian diagnosis, doktor akan menjalankan beberapa ujian utama berikut:
Ujian Darah

Ujian darah membantu menyukat paras hormon dan metabolik yang berkaitan dengan PCOS. Antara parameter yang sering diperiksa ialah:
- Hormon LH, FSH, estrogen dan testosteron, bagi menentukan sama ada terdapat ketidakseimbangan hormon.
- Ujian tiroid, untuk menilai sama ada masalah tiroid menjadi punca haid tidak teratur.
- Ujian glukosa, bagi mengesan rintangan insulin, salah satu penyebab utama PCOS.
- Ujian paras lipid, kerana wanita dengan PCOS cenderung mempunyai kolesterol dan trigliserida yang tidak normal.
Dalam kes tertentu, ujian tambahan seperti pemeriksaan darah untuk hormon prolaktin atau kortisol juga boleh dilakukan bagi menolak kemungkinan gangguan lain.
Ultrasound
Ultrasound digunakan untuk memeriksa keadaan ovari dan rahim. Melalui imbasan ini, doktor dapat melihat sama ada terdapat:
- Banyak folikel kecil (cyst) yang tidak matang pada ovari.
- Perubahan saiz ovari, yang sering menjadi tanda klasik PCOS.
Jika doktor mengesyaki kehadiran ketumbuhan atau struktur yang tidak normal, ujian pengimejan lanjutan seperti CT-scan atau laparoskopi pelvik mungkin dilakukan.
Kesan Jangka Panjang PCOS
PCOS, sama seperti masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi dan diabetes, merupakan diagnosis seumur hidup yang mempunyai fasa naik dan turunnya. Namun, jika tidak dirawat dan diuruskan dengan baik, PCOS boleh membawa kepada risiko:
- Masalah kehamilan
- Diabetes jenis 2.
- Penyakit kardiovaskular (tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi).
- Kanser endometrium (lapisan rahim).
- Masalah kesihatan mental seperti kemurungan.
Rawatan PCOS
PCOS tidak boleh diubati sepenuhnya, namun simptomnya boleh dikawal dan dirawat dengan pendekatan yang tepat. Setiap wanita mempunyai gejala dan matlamat kesihatan yang berbeza, sebab itu rawatan PCOS perlu disesuaikan secara individu mengikut keperluan tubuh masing-masing.
Perubahan Gaya Hidup
Gaya hidup sihat memainkan peranan besar dalam membantu menstabilkan hormon dan memperbaiki simptom PCOS. Antara langkah penting yang disarankan:
- Bersenam secara berkala. Senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari boleh membantu menurunkan paras insulin dan meningkatkan kesuburan.
- Amalkan diet seimbang. Utamakan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, ikan, ayam dan daging tanpa lemak.
- Kawal pengambilan gula dan karbohidrat ringkas. Diet rendah glisemik membantu menstabilkan paras gula dalam darah dan mengurangkan rintangan insulin.
- Turunkan berat badan. Penurunan berat sebanyak 5–10% sudah cukup untuk memperbaiki kitaran haid, meningkatkan peluang ovulasi dan mengurangkan simptom seperti jerawat atau pertumbuhan bulu berlebihan.
Ubat-Ubatan

Rawatan ubat bergantung pada simptom utama yang dialami:
- Pil kontraseptif oral (OCP). Ubat ini membantu menstabilkan haid, mengurangkan penghasilan hormon androgen dan merawat masalah pertumbuhan bulu berlebihan (hirsutisme).
- Progestin. Sesuai bagi wanita yang tidak mahu mengambil OCP tetapi memerlukan bantuan untuk mengawal haid yang tidak teratur.
- Metformin. Ubat ini membantu mengawal rintangan insulin, mengurangkan gula dalam darah, dan membantu sesetengah wanita mengembalikan kitaran haid yang normal.
- Inositol. Suplemen ini berfungsi untuk meningkatkan sensitiviti sel terhadap insulin, yang boleh membantu memperbaiki ovulasi dan mengurangkan paras androgen pada sesetengah wanita.
Semua ubat diberikan hanya selepas pemeriksaan penuh, bagi memastikan dos dan kombinasi rawatan sesuai dengan keadaan hormon setiap pesakit.
Rawatan Kesuburan
Bagi wanita dengan PCOS yang merancang kehamilan, rawatan kesuburan akan diberikan berdasarkan tahap kesuburan semasa.
- Ubat Rangsangan Ovulasi (Clomiphene Citrate atau Letrozole): Ubat ini berfungsi merangsang ovari untuk mengeluarkan telur (ovulasi), sekali gus meningkatkan peluang untuk hamil secara semula jadi atau melalui prosedur kesuburan.
- Ovarian Drilling (Pembedahan Ovari): Prosedur pembedahan kecil (laparoskopi) yang dilakukan untuk memusnahkan sebahagian kecil tisu ovari yang menghasilkan androgen. Ini boleh membantu mengembalikan ovulasi pada sesetengah wanita yang tidak bertindak balas terhadap ubat.
- Rawatan IUI atau IVF:
- IUI (Intrauterine Insemination): Prosedur di mana sperma yang telah diproses disuntik terus ke dalam rahim wanita semasa tempoh ovulasi.
- Rawatan IVF (In Vitro Fertilization): Jika ubat kesuburan tidak memberi hasil atau terdapat masalah kesuburan lain, IVF mungkin dicadangkan. Dalam rawatan ini, telur akan diekstrak dari folikel ovari dan disenyawakan di luar rahim, sebelum embrio dipindahkan semula ke rahim untuk proses kehamilan.
Baca Juga: Ikhtiar Hamil: 9 Tips & Teknik Dari Doktor Pakar Kami (2026)
“Early diagnosis and management of PCOS can help prevent long-term health complications.”
Rawatan PCOS Di Klinik Ayra
Secara ringkas, simptom PCOS bukan sekadar masalah haid tidak teratur, ia adalah cerminan ketidakseimbangan hormon yang memerlukan perhatian segera. Dengan diagnosis yang awal dan rawatan yang tepat, wanita Malaysia boleh mengawal PCOS dan menjalani kehidupan yang lebih sihat.
Jika anda mengalami tanda-tanda seperti haid tidak teratur, jerawat berulang, atau kesukaran untuk mendapatkan anak, jangan tunggu lagi.
Klinik Ayra menawarkan rawatan lengkap untuk PCOS:
- Konsultasi hormon dan kesuburan oleh doktor wanita yang berkelayakan.
- Pemeriksaan ultrasound dan ujian darah hormon dengan teknologi terkini.
- Pelan rawatan yang disesuaikan (ubat, panduan nutrisi dan pemantauan berterusan).
Kami memahami bahawa tubuh setiap wanita berbeza. Oleh itu, rawatan yang diberikan adalah peribadi, bertujuan untuk memulihkan keseimbangan hormon anda dan bukan sekadar merawat simptom.
Dapatkan pemeriksaan dan rawatan PCOS di Klinik Ayra hari ini. Kami menawarkan rawatan berkualiti tinggi dan berpatutan oleh doktor wanita yang berpengalaman.
Rujukan:
1. Polycystic ovary syndrome
https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/polycystic-ovary-syndrome diakses pada 22 Oktober 2025
2. PCOS Guideline
https://www.monash.edu/__data/assets/pdf_file/0003/3371133/PCOS-Guideline-Summary-2023.pdf diakses pada 22 Oktober 2025
3. PCOS
https://www.pantai.com.my/medical-specialties/gynaecology/pcos diakses pada 22 Oktober 2025
4. Polycystic Ovary Syndrome (PCOS)
https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/8316-polycystic-ovary-syndrome-pcos diakses pada 22 Oktober 2025
5. Understanding Polycystic Ovary Syndrome (PCOS)
https://www.sunwaymedical.com/en/blogpost/understanding-polycystic-ovary-syndrome-pcos-a-common-hormonal-disorder-in-women diakses pada 22 Oktober 2025
Disclaimer :
Artikel ini telah disemak dan disahkan oleh :
Prof Madya Dr. Mohd Faizal bin Ahmad
Doctor of Medicine (MD), University Putra Malaysia
Wakil Malaysia untuk Asian Society of Fertility Preservation
Prof Madya Dr. Mohd Faizal bin Ahmad adalah doktor pakar kesuburan berdaftar dan sah dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dengan nombor pendaftaran penuh (No. 48056)




One Comment