Pernah alami haid datang dua kali sebulan, atau perut makin buncit walaupun berat badan sama? Itu mungkin bukan hormon “tak stabil” semata-mata sebaliknya, tanda fibroid rahim.
Fibroid ialah ketumbuhan bukan kanser yang terbentuk daripada otot dan tisu rahim. Ia boleh bersaiz kecil seperti biji kacang ke sebesar buah tembikai. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM, 2024), hampir 1 daripada 3 wanita Malaysia berusia 20 hingga 45 tahun berisiko mengalaminya tetapi majoriti tidak sedar kerana simptomnya samar.
Sehingga kini, masih ramai wanita percaya:
“Fibroid sama dengan cyst.”
“Kalau ada fibroid, mesti buang rahim.”
“Fibroid hanya terjadi pada wanita tak kahwin.”
Faktanya, semua itu salah. Fibroid tidak sama dengan cyst ovari, tidak semestinya perlu pembedahan dan boleh berlaku pada mana-mana wanita, termasuk yang sedang mengandung atau selepas bersalin.
Malangnya, kerana stigma dan salah faham ini, ramai pesakit hanya tahu mereka mengalami masalah fibroid selepas bertahun-tahun alami haid tidak teratur, senggugut teruk atau sukar hamil.
Artikel ini akan bantu anda faham apa itu fibroid, simptomnya, bezanya dengan cyst, risiko semasa kehamilan serta rawatan moden di klinik wanita yang menawarkan solusi selamat, berkesan dan mampu milik.
“Uterine fibroids are one of the most common gynecologic conditions, yet they often go undiagnosed for years.”
— American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG, 2022)
Definisi Fibroid Rahim
Fibroid (atau uterine leiomyoma) ialah ketumbuhan padat bukan kanser yang terbentuk daripada otot dan tisu penghubung rahim. Penyebab fibroid adalah pengaruh hormon estrogen dan progesteron, serta faktor genetik dan gaya hidup.
Adakah Fibroid Kanser?
Tidak. Lebih 99% kes fibroid bukan kanser. Namun, jika fibroid membesar secara mendadak atau menyebabkan pendarahan luar biasa, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan bagi menolak risiko yang jarang berlaku seperti leiomyosarcoma.
Baca Juga: Kanser Rahim: Pembunuh Senyap 5% Wanita di Malaysia (ULASAN)
Sifat Fibroid Rahim
- Tumbuh secara perlahan dan bergantung kepada hormon wanita.
- Mungkin wujud satu atau banyak dalam masa yang sama.
- Boleh tumbuh di dinding luar rahim (subserous), di dinding rahim (intramural), atau dalam rongga rahim (submucous).
- Boleh membesar semasa hamil dan mengecil selepas menopaus.
Beza Fibroid dan Cyst
| Ciri | Fibroid | Cyst Ovari |
| Lokasi | Dalam atau pada dinding rahim | Dalam ovari |
| Kandungan | Tisu otot padat | Cecair |
| Simptom utama | Haid banyak, simptom anemia, perut buncit dan sakit, kerap kencing | Kitaran haid tidak tetap, sakit pinggul |
| Risiko kanser | Sangat rendah | Bergantung pada jenis cyst |
Fibroid bukan cyst, dan rawatannya juga berbeza. Pemeriksaan doktor penting untuk elak salah diagnosis yang menyebabkan rawatan yang diberikan tidak berkesan.
Simptom Fibroid Rahim
1. Haid Banyak

Fibroid boleh menyebabkan pendarahan haid yang sangat banyak, berpanjangan (lebih seminggu), atau berlaku pendarahan antara waktu haid. Keadaan ini boleh membawa kepada anemia (kurang darah) jika kehilangan darah terlalu banyak.
2. Perut Buncit
Fibroid besar menolak rahim ke depan, menjadikan perut kelihatan seperti mengandung.
3. Kerap Kencing

Apabila fibroid menekan pundi kencing, anda mungkin mengalami kerap membuang air kecil atau rasa tidak selesa di bahagian pundi kencing, kerana tekanan daripada fibroid terhadap organ tersebut.
Selain itu, simptom lain termasuk:
- Sakit belakang atau pinggul
- Sembelit
- Kesukaran hamil
Diagnosis Fibroid Rahim
Proses diagnosis fibroid melibatkan gabungan sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal dan ujian pengimejan lanjutan. Langkah ini penting untuk menentukan saiz, lokasi dan jumlah fibroid sebelum rawatan dimulakan.
Ultrasound

Ini adalah ujian paling biasa untuk mengesan fibroid. Ultrasound menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi untuk menghasilkan imej rahim. Ia membantu menentukan saiz, bilangan dan lokasi fibroid, sama ada di dalam atau di luar dinding rahim. Ultrasound transvaginal akan memberikan imej yang lebih baik diikuti pengesahan menggunakan CT scan/MRI pelvis.
Histeroskopi
Dalam prosedur ini, tiub kecil dengan kamera dan cahaya (histeroskop) dimasukkan melalui faraj ke dalam rahim. Ia membolehkan doktor melihat bahagian dalam rahim secara terus untuk mengenal pasti fibroid yang menonjol ke dalam rongga rahim (submucous fibroid). Prosedur ini dilakukan secara minimally invasive, tanpa pembedahan besar.
MRI
Jika keputusan ultrasound kurang jelas, doktor mungkin mencadangkan MRI. Ujian ini memberikan imej yang lebih terperinci tentang struktur rahim dan fibroid, membantu doktor membezakan fibroid daripada ketumbuhan lain serta merancang rawatan terbaik. MRI sangat berguna bagi pesakit dengan fibroid bersaiz besar atau berbilang.
Histerosonografi
Kaedah ini melibatkan suntikan cecair saline steril ke dalam rahim semasa ultrasound dilakukan. Cecair ini membantu menggambarkan dengan lebih jelas fibroid yang tumbuh di dalam rongga rahim, terutama yang kecil dan sukar dilihat melalui ultrasound biasa.
Histerosalpingografi
Ujian X-ray khas ini menggunakan bahan pewarna (dye) untuk melihat bentuk rahim dan tiub fallopio. Ia membantu doktor menilai struktur rahim yang mungkin terjejas oleh fibroid, terutamanya jika anda sedang menjalani rawatan kesuburan.
Laparoskopi

Dalam sesetengah kes, laparoskopi dilakukan untuk melihat rahim dan organ sekitarnya secara terus. Melalui insisi kecil di abdomen, kamera halus dimasukkan bagi menilai fibroid di permukaan luar rahim (subserous fibroid). Ia juga boleh digunakan untuk prosedur rawatan sekaligus, jika perlu.
Adakah Fibroid Berbahaya?
Kebanyakan fibroid tidak berbahaya, tetapi jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan:
- Pendarahan berlebihan & anemia
- Sukar hamil atau keguguran berulang
- Tekanan pada organ sekitar rahim
- Sakit pelvis kronik
Fibroid yang membesar melebihi 5 cm, atau menyebabkan simptom yang ketara perlu rawatan segera.
Mengandung Dengan Fibroid Rahim
Ya, ramai wanita masih boleh hamil walaupun ada fibroid. Namun, bergantung pada lokasi dan saiz kerana fibroid boleh:
- Menyukarkan implantasi embrio
- Meningkatkan risiko kelahiran pra-matang
- Mengubah posisi janin
- Menyebabkan sakit kuat ketika hamil
Pemantauan doktor sangat penting agar kehamilan selamat dan terkawal.
“Management of uterine fibroids should be tailored to the size and location of the tumors; the patient’s age, symptoms, desire to maintain fertility, and access to treatment.”
Rawatan Fibroid Rahim di Klinik Ayra
Klinik Ayra menawarkan pendekatan moden dan mesra wanita untuk rawatan fibroid. Setiap pesakit di Klinik Ayra diberi pelan rawatan peribadi (personalized treatment) berdasarkan umur, saiz fibroid dan keperluan untuk hamil.
Fibroid rahim bukan sesuatu yang perlu ditakuti, tapi perlu difahami. Setiap wanita berhak tahu apa yang berlaku pada tubuhnya dan memilih rawatan terbaik tanpa panik. Kesedaran awal boleh mencegah komplikasi serius dan yang penting, rahim anda boleh diselamatkan.
Hubungi Klinik Ayra hari ini untuk pemeriksaan dan rawatan fibroid rahim yang profesional, selamat dan berkesan.
Rujukan:
1. Memahami Fibroid
https://gleneagles.com.my/ms/medical-specialties/obstetrics-and-gynaecology-og/uterine-fibroids diakses pada 23 Oktober 2025
2. Risiko Fibroid
https://hellodoktor.com/kesihatan-wanita/fibroid-rahim/risiko-fibroid/ diakses pada 23 Oktober 2025
3. Uterine Fibroids
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/uterine-fibroids/symptoms-causes/syc-20354288 diakses pada 23 Oktober 2025
4. Fibroids
https://www.nhs.uk/conditions/fibroids/ diakses pada 23 Oktober 2025
5. Factsheets Uterine
https://www.nichd.nih.gov/health/topics/factsheets/uterine diakses pada 23 Oktober 2025
Disclaimer :
Artikel ini telah disemak dan disahkan oleh :
Prof Madya Dr. Mohd Faizal bin Ahmad
Doctor of Medicine (MD), University Putra Malaysia
Wakil Malaysia untuk Asian Society of Fertility Preservation
Prof Madya Dr. Mohd Faizal bin Ahmad adalah doktor pakar kesuburan berdaftar dan sah dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dengan nombor pendaftaran penuh (No. 48056)




One Comment